Utusan Online 15/1/09
SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) 14 Jan. – Penduduk di pekan sempadan Malaysia-Thailand di sini gempar apabila dikejutkan dengan dua letupan bom di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang sedang dalam proses pembinaan di sini awal pagi ini.
Bagaimanapun, letupan bom buatan sendiri itu hanya merosakkan empat pos pemeriksaan kastam yang belum digunakan, terletak kira-kira 40 meter dari kawasan pembinaan kompleks itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Seorang pegawai kastam Thailand yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi, disusuli letupan kedua 10 minit kemudian.
Beliau percaya letupan di kawasan paling hampir dengan pintu masuk kedua-dua buah negara itu bertujuan menakutkan orang ramai dan pegawai-pegawai kerajaan yang melalui kawasan tersebut.
“Kita tidak tahu apa sebab dan siapa yang meletakkan bom di kawasan ini tetapi kami rasa ia hanya ugutan untuk menakutkan orang ramai dan kakitangan kerajaan yang bertugas di sini.
“Ketika kejadian berlaku tiada siapa di tempat kejadian kerana ia dibuka pada pukul 6 pagi (waktu Thailand),” katanya.
Selepas kejadian itu, pintu masuk ke Malaysia ditutup selama kira-kira dua jam sebelum dibuka semula kepada orang ramai.
Pintu masuk kedua-dua buah negara itu dibuka dari pukul 6 petang hingga 10 malam setiap hari.
Tinjauan di kawasan tersebut mendapati, kejadian tersebut tidak menjejaskan urusan harian penduduk.
Beberapa anggota tentera dan polis dilihat berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
Kompleks canggih yang berharga kira-kira RM16 juta itu dijangka siap sepenuhnya kira-kira lima bulan lagi.
Dalam pada itu, usaha untuk menemui Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Tanongsak Wangsupa di pejabatnya bagi mendapatkan maklumat lanjut gagal kerana beliau berada di luar kawasan.
Sementara itu, Timbalan Konsul Besar Thailand di Kota Bharu, Niran Boonjit ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak menjejaskan urusan harian penduduk untuk keluar masuk di pintu sempadan.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kita masih belum mengetahui siapa yang bertanggungjawab serta motif pengeboman ini,” katanya.
Thursday, January 15, 2009
Letupan di Sungai Golok
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment