Friday, January 30, 2009

Taman Laut Menado

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
TAHUKAH anda di mana letaknya lokasi sebenar Menado? Bagi penulis, satu saja terlintas di fikiran apabila mendengar nama Menado, iaitu Maria Menado, Primadona filem Melayu pada 60-an.

Penulis sendiri masih samar-samar mencari jawapan mengenai lokasi sebenar tempat ini. Menado atau Manado (bahasa Inggeris) sebenarnya terletak di Kepulauan Sulawesi, Indonesia kira-kira 2,500 kilometer dari Kuala Lumpur (perjalanan udara) dan wilayah yang berkongsi laut Sulu dengan Sabah.
Kesempatan mengunjungi Menado dua minggu lalu menyingkap kisah sebenar ibu kota Utara Sulawesi dikenali sebagai bandar Mesra di kalangan pelancong yang menjadi destinasi utama untuk pencinta aktiviti menyelam skuba dan ‘snorkeling’.

Di kalangan penyelam, Menado dikenali sebagai antara lokasi menyelam yang perlu dikunjungi kerana mempunyai beberapa Taman Laut termasuk Bunaken National Marine Park (Bunaken) yang menempatkan 2,500 spesies ikan dan 70 jenis batu karang.

Malah, Bunaken dimasukkan dalam senarai 10 lokasi ‘snorkeling’ 2008 oleh majalah maya, ForbesTravel.com dan destinasi terawal diisytiharkan sebagai taman laut di Indonesia.
Pada 11 hingga 15 Mei ini, Menado akan menjadi tuan rumah Persidangan Lautan Dunia 2009, yang mengumpulkan lebih 50 buah negara dengan 3,000 peserta.

Ketika menghadiri FAM Trip anjuran Triways dan jemputan syarikat pelancongan Mapanget baru-baru ini, penulis berkesempatan menyaksikan keindahan dasar laut di Bunaken dan Pulau Siladen yang mempunyai batu karang dan ikan berwarna warni.

Lebih manis, dalam perjalanan pulang kembali ke penginapan di Tasik Ria Resort, rombongan kami berkesempatan melihat ikan lumba-lumba berenang dan melompat di tengah laut. Menurut pemandu bot, peluang melihat ikan berkenaan bukannya selalu disaksikan oleh pelancong dan rombongan kami sangat bertuah petang itu.

Selain tarikan taman laut, Menado sebenarnya menawarkan pelbagai destinasi pelancongan lain yang ‘wajib’ anda kunjungi jika melawat Sulawesi Utara yang dikenali sebagai kota ‘nyiur melambai’ kerana memang banyak pokok kelapa di sini.
Kunjungilah Tomohon kira-kira satu jam perjalanan dari Bandar Menado. Tomohon bermaksud ‘orang mendoakan’ atau ditafsirkan penduduk di daerah itu sentiasa mendoakan kebahagiaan dan daerah sentiasa subur berikutan kedudukannya di lembah tengah-tengah antara dua gunung berapi yang masih aktif Gunung Mahuwa dan Lokon.

Bandar Tomohon juga dikenali sebagai Bandar Bunga Menado kerana daerah subur itu dipenuhi pelbagai jenis dan spesies bunga yang sentiasa mekar. Singgahlah di Lokon Country Resort serta Resort Gardenia yang mempunyai landskap menarik dengan taman bunga yang sentiasa mekar.

Gunung Lokon juga “wajib’ dikunjungi jika anda mahu menyaksikan kawah gunung berapi yang mengeluarkan asap putih. Batu di sekeliling gunung hitam kesan terbakar terkena lahar gunung, malah rumput sekitarnya juga nampak terbakar.

Dari kaki gunung, kawasan berkenaan berwarna coklat jingga kesan kepanasan dari kawah gunung berapi itu. Gunung Mahuwa pula nampak hijau walaupun ia sebenarnya adalah gunung berapi aktif di daerah berkenaan.

Sesuai dengan gelarannya sebagai Bandar Bunga, landskap Tomohon memang dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga dan kebanyakan penempatan penduduk dihiasi dengan taman kecil. Tomohon juga terkenal dengan aktiviti pertanian dengan penanaman lobak merah, bayam, saderi dan kangkung. Namun, satu lagi keunikan Tomohon adalah pelbagai makanan eksotik yang boleh didapati di pasar sekitarnya.

Jika anda berminat mengunjungi Menado boleh hubungi Triways Travel Network di 03-77291044, Kembara Dunia Travel & Tours ( 03-91739814) atau Takzim Travel & Tours (03-40455460).

INFO: Tempat menarik yang mesti dikunjungi

# Pasar utama Minahasa Utara di Tomohon menjual makanan eksotik seperti anjing, kucing, kelawar, tikus salai, ular sawa, biawak dan cicak hutan.

# Tugu peringatan yang melambangkan kepelbagaian agama masyarakat Minahasa Utara dan kolam air panas terletak di Kampung Kanonang, Bukit Kasih.

# Perkampungan Woloan, menempatkan industri pertukangan kayu dan pembinaan rumah tradisional Minahasa.

# Pengunjung boleh membeli rumah kayu pasang siap di Perkampungan Woloan.

# Tasik Tondano menawarkan berpuluh restoran terapung menyajikan makanan laut.

# Kampung Pulutan sinonim dengan industri kraftangan daripada tanah liat.

# Kampung Kawangkoan, terkenal dengan industri makanan berasaskan kacang tanah yang saiznya lebih kecil dan rasanya rangup.

# Hutan Simpan Tangkoko seluas 8,700 hektar di Bitung menyimpan binatang unik yang tidak boleh didapati di tempat lain di dunia, dikenali sebagai Tarcius Spektrum- monyet kecil sebesar penumbuk dan bermata besar seperti burung hantu.

# Zoo Mini Sulesman Gumulung di Naenundung turut menempatkan koleksi burung hantu, kakaktua, musang, buaya, ular sawa, monyet dan burung enggang.

0 comments: